18 December 2010

BAHAYAKAH PANDANGAN MATA??


             Salam..setelah sekian lama ana tak  update blog ni, akhirnya Allah berikan kesempatan kepada ana untuk kongsikan satu hadis yang ana pernah terbaca dalam sebuah kitab “Analisa dan Komentar Hadis Qudsi oleh Syed Ahmad Semait”.

Berkata Ibn Mas’ud r.a. bahawasanya Nabi Muhammad s.a.w. telah bersabda:

Allah telah berfirman:


اَلنَّظْرَةُ سَهْمِ مِنْ سِهَامِ إِبْلِيسَ، مِنْ تَرَكَهَا مِنْ مَخَافَتِي أَبْدَلْتُهُ إِيمَانًا يَجِدُ حَلَاوَتَهُ فِي قَلْبِهِ.


"Pandangan mata itu adalah panah dari panahan Iblis. Barangsiapa menjauhinya kerana takut kepadaKu, nescaya Aku akan gantikannya dengan iman, yang bakal dirasakan kemanisannya di hatinya."
                                                                              (Riwayat Thabarani dan Hakim)

Huraiannya:

                Dalam hukum syariat Islam, pandangan pertama itu sentiasa DIMAAFKAN, kerana tidak disengajakan. Tetapi, pandangan kedua dan seterusnya adalah dikira atas orang yang memandang itu, yakni BERDOSA. Iaitu memandang kepada perkara-perkara yang terlarang oleh Allah s.w.t. dan RasulNya.

                Menurut Hadis ini pula dinyatakan bahawa pandangan mata kepada perkara-perkara yang HARAM itu adalah merupakan hasutan daripada syaitan dan galakannya untuk memperdaya manusia. Sebab itulah..diumpamakan pandangan kepada yang haram sebagai salah satu dari panahan syaitan, manakala panah-panahnya yang lain, yakni tipudayanya atau tipu muslihatnya adalah terlalu banyak, yang sepatutnya kita berhati-hati supaya tidak terperangkap di dalamnya.

                Kemudian Allah Ta’ala menjanjikan pula, bahawa sesiapa yang menjauhinya (tidak dituruti maksud syaitan itu), nescaya Allah Ta’ala akan menambahkannya keimanan, yakni keteguhan kepercayaan kepada Allah s.w.t. dan patuh kepada hukum-hukumNya dengan menurut segala perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya. Orang yang dapat mengawal dirinya dalam konteks ini tentulah akan merasakan kemanisan imannya. Dia lebih suka menurut apa yang diperintah Allah Ta’ala daripada mendengar hasutan syaitan. Segala bisikan syaitan itu diletaknya di belakang, kerana syaitan itu menjanjikan yang tidak baik, meskipun dinampakkan lahirnya bagus dan menarik. Namun, di dalamnya sentiasa mengandungi racun dan bahaya.

                Ternyata dalama zaman kita ini, agak sukar sekali untuk mengelakkan diri dari pandangan yang dilarang ini. Biarpun kita cuba menahan pandangan kita sekuat hati dari melihat yang terlarang, namun hawa nafsu kita tidak mudah dapat ditundukkan. Ini adalah kerana dunia kita ini telah terbala oleh gejala-gejala yang kurang sopan disebabkan terpengaruh dengan budaya liar yang tidak sihat. Tidak cukup bangsa asing dengan telatahnya masing-masing, kaum kita sendiri pun tidak terlepas dari mengikut budaya yang merosakkan ini.

                Di sinilah terletaknya ujian yang berat bagi kaum Muslimin untuk membuktikan dirinya patuh atau tidak. Kalaupun tidak terdaya rasanya diri kita untuk mengelakkan diri dari dosa ini, sekurang-kurangnya..ingkarilah perbuatan itu dalam diri kita dan cuba menahannya dari terus melakukannya di lain kali, mudah-mudahan dosa itu akan terhapus. Tetapi, jika kita tidak menyesali perbuatan itu, malah ikut sahaja kemahuan hawa nafsu..dikhuatiri dosa yang kecil itu, bila dilakukan berterusan boleh menjadi dosa besar pula.

                Yang wajar bagi seorang Muslim itu mestilah menunjukkan sikap keIslamannya pada semua masa dan tempat, tidak kira dalam kumpulan sesame Muslim, mahupun ketika bercampur dengan yang bukan Muslim. Sikap kita mestilah satu, tidak berubah..iaitu sikap orang yang mengenal Allah sebagai Tuhannya. Lalu, menjalankan semua yang diajarkan oleh agamanya yang suci. Fahamkanlah maksud ini nescaya kita akan terselamat dunia dan akhirat..InsyaAllah.    

Kalamullah

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...